web 2.0
English French German Spain Italian Dutch
Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Thursday, November 05, 2009

Keistimewaan Hari Jumaat

Abdullah bin Munzir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan yang terbesar disisi Allah. Ia adalah hari yang lebih besar di sisi Allah daripada hari Raya Fitri. Pada hari itu telah terjadi lima perkara iaitu:

1. Penciptaan Adam.
2. Pada hari itu juga dikeluarkan dia dari syurga.
3. Pada hari itu juga, dia wafat.
4. Dan pada hari itu terdapat satu masa di mana tidaklah seorang hamba itu meminta sesuatu dari Tuhannya melainkan akan dikurniakan kepadanya selagi dia tidak meminta yang haram.
5. Pada hari itu Qiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat”.
HR Ibnu Majah & Al-Baihaqi

Menurut Imam Sayuti antaranya ;

1. Semua roh-roh orang Islam pada hari itu akan berkumpul
2. Mayat-mayat akan terselamat dari seksaan kubur.
3. Sesiapa yang meninggal pada malam Jumaat atau pada siangnya maka ia akan terselamat dari seksaan kubur.
4. Api neraka tidak menyala.
5. Semua penduduk syurga akan menziarahi Allah Ta'ala.

Bersabda Rasulullah s.a.w., "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah kemudian pergi ke masjid pada saat yang pertama maka pahalanya seumpama ia berkorban seekor unta. Sesiapa yang pergi ke masjid pada saat yang kedua, pahalanya seumpama ia berkorban seekor lembu. Sesiapa yang keluar pada saat ketiga, pahalanya seumpama ia berkorban seekor biri-biri yang bertanduk. Sesiapa yang keluar pada saat yang keempat, pahalanya seumpama ia berkorban seekor ayam betina. Sesiapa yang keluar pada saat kelima, pahalanya seumpama ia bersedekah sebiji telur. Apabila imam telah keluar untuk membaca khutbah dan para malaikat pun hadir sama untuk mendengarnya."

Read more...

Wednesday, November 04, 2009

Bila nak keluar Perodua MPV ?

Dengar - dengar Perodua MPV D46T 7 bakal dilancarkan secara rasmi pada November 2009. Mungkin ramai dari kita tertunggu - tunggu rupa sebenarnya. Tidak ketinggalan juga buat mereka yang mengidam untuk memilikinya. Jadi kita sama - sama nantikannya!

Harga Perodua MPV ini dijangka antara rm56k - rm66k. Model ini berdasarkan acuan Toyota Passo Sette atau dalam versi Daihatsu, Daihatsu Boon Luminas. Saiz lebih kecil dari Proton Exora. Engine kapasiti 1500 CC, 109 kuasa kuda pada 6000 rpm, Torque 141 Nm pada 4400 rpm. Gear Automaik 4-kelajuan. Penggunaan petrol pada kadar 15.6km / liter. Preview..


Read more...

Tuesday, November 03, 2009

Berforumlah di AMSYIQ

Alhamdulillah.. Berhasil juga untuk mengadakan laman forum untuk AMSYIQ. Sebenarnya sudah lama buya minta aku wujudkan tapi kekangan masa tidak mengizinkan. Ianya baru diwujudkan jadi banyak perkara yang aku kena belajar. Untuk mendaftar
sila klik sini!


Forum ini bertujuan antaranya;

1- Perbincangan berkaitan penyakit misteri dan gangguan jin
2- Kaedah rawatan untuk mengubati penyakit-penyakit tertentu melalui rawatan tradisional dan qurani
3- Kelebihan mengamalkan makanan sunnah Rasulullah saw
4- Soal jawab berkaitan hukum-hukum tertentu dsbg


Read more...

Monday, November 02, 2009

Ayat Al-Quran di Kulit Bayi

Berita dari Kosmo! mengenai seorang bayi yang mana setiap hari Isnin dan Jumaat akan timbul ayat al-Quran ditubuhnya. Buat mereka yang belum lagi membaca berita ni, berikut berita penuh mengenainya....


KIZLYAR - Seorang bayi ajaib, Ali Yakubov membawa harapan keamanan kepada penduduk Dagestan, wilayah selatan Rusia yang majoritinya orang Islam selepas kehidupan mereka terseksa akibat keganasan agama yang berlarutan.

Pada minggu ini, beratus-ratus pelawat berbaris panjang untuk melihat bayi berusia sembilan bulan itu selepas beberapa ayat suci al-Quran muncul pada tubuhnya pada setiap Isnin dan Jumaat sebelum hilang dan digantikan dengan ayat baru.

Pada setiap hari, kira-kira 2,000 pelawat daripada 20 juta penduduk Islam Rusia datang untuk melihat bayi ajaib itu.

Di luar kediaman ibu bapa bayi berkenaan iaitu Shamil Yakubov dan isterinya, Madina Yakubov, kedua-duanya berusia 27 tahun, orang ramai dilihat berdoa sambil mengucapkan kesyukuran kepada Tuhan.

"Allah melindungi Dagestan," kata Akhmed Khadzhy iaitu seorang pesara dari Khasavyurt, bandar di sempadan Chechnya selepas tiga orang maut dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Dagestan dan militan Islam pada malam sebelumnya.

Berwarna merah jambu dan panjang beberapa sentimeter, ayat suci al-Quran bermaksud bersyukur kepada Allah jelas tertera pada kaki kanan bayi itu pada minggu ini, kata beberapa pemimpin Islam.

Sekumpulan wartawan asing yang melawat bayi itu dapat menyaksikan dengan mata mereka sendiri, satu huruf tiba-tiba muncul selepas ayat tersebut hilang.

"Keajaiban ini adalah isyarat Tuhan supaya kita tampil untuk membantu saudara seagama kita bagi mengembalikan keamanan," kata seorang pemimpin di Kizlyar, Sagid Murtazaliyev.
"Kita jangan lupa bahawa wilayah ini dilanda peperangan," jelasnya kepada pihak media yang diundang untuk menyaksikan keanehan itu yang disifatkan sebagai isyarat Tuhan.

Bukti keajaiban itu merupakan isyarat Tuhan turut diperkuatkan dengan fakta bahawa bapa bayi itu bertugas dalam pasukan polis dan sering menjadi sasaran pembunuhan militan Islam di Dagestan yang dikuasai Rusia.

Para pemimpin tempatan pernah memaklumkan kepada Presiden Rusia, Dmitry Medvedev bahawa mereka sukar membendung penentangan kumpulan-kumpulan militan Islam yang didalangi rangkaian Al-Qaeda.

Akibatnya, keamanan yang dinikmati selama beberapa tahun di wilayah Dagestan, Ingushetia dan Chechnya musnah susulan pengeboman berani mati dan serangan bersenjata terhadap pihak polis dan pasukan keselamatan. - Reuters

Read more...

Imam al-Jazari r.a

Nama sebenar al-Imam Ibnu al-Jazari ialah Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin `Ali bin Yusuf al-Jazari al-Dimasyqi. Beliau digelar sebagai Abu al-Khair. Beliau dilahirkan pada malam Sabtu 25 Ramadhan 751 Hijriah di Dimasyq, Syam. Di Dimasyq inilah beliau dibesarkan dan menjadi tempat beliau tamat menghafaz al-Quran ketika beliau berusia 14 tahun lagi. Apabila beliau membesar beliau lebih cenderung untuk mendalami ilmu al-Qiraat daripada masyayikh-masyayikh yang ada pada ketika itu.

Guru-guru beliau

Di antara ulama-ulama Dimasyq yang menjadi tempat beliau bertalaqqi ialah Abu Muhammad Abdul Wahhab bin as-Salar, Syeikh Ahmad bin Ibrahim at-Thohhan, Syeikh Abu al-Ma`ali Muhammad bin Ahmad al-Labani dan al-Qodhi Abu Yusuf Ahmad bin al-Husain al-Kifri al-Hanafi. Manakala guru-guru beliau dari Mesir ialah Abu Bakr Abdullah bin al-Jundi, Abu Abdillah Muhammad bin as-Sho`igh, Abu Muhammad Abdul Rahman bin al-Baghdadi dan Syeikh Abdul Wahhab al-Qorwi.

Ketika beliau bermusafir ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji dan menuju ke Madinah untuk menziarahi Rasulullah s.a.w, beliau telah bertalaqqi al-Quran dengan Imam Masjid al-Nabawi ketika itu iaitu Muhammad bin Soleh. Beliau juga telah mentalaqqi al-Quran daripada hampir semua imam-imam qiraat daripada Syam, Mesir, Hijaz baik secara ifrad dan jama` dengan berpandukan kitab-kitab qiraat yang muktabar seperti as-Syatibiah, at-Taisir, al-Kafi, al-`Unwan, al-I`lan, al-Mustanir, at-Tazkirah, at-Tajrid dan lain-lain kitab qiraat yang masyhur pada ketika itu yang menjadi rujukan utama umat Islam dalam bidang ini.

Beliau juga mengadakan majlis pengajian qiraat selama beberapa tahun di Jami` Umawi, Dimasyq dengan sambutan yang cukup hebat oleh murid-murid beliau pada masa itu. Ada dikalangan mereka yang bertalaqqi daripada beliau berdasarkan satu buah kitab qiraat sahaja. Ada juga yang lebih daripada satu buah kitab. Ada yang bertalaqqi daripada beliau Qiraat Tujuh, Qiraat Sepuluh bahkan lebih daripada itu. Antara anak-anak murid beliau yang mengambil Qiraat Sepuluh ialah anak beliau sendiri Abu Bakr Ahmad bin Muhammad, Syeikh Mahmud bin al-Husain as-Syirazi, Syeikh Najibuddin Abdullah bin al-Husain al-Baihaqi, Syeikh Muhammad bin Ahmad bin al-Haim dan sebahagian besar murid-murid beliau yang lain.

Kegigihan beliau

Kesungguhan beliau untuk mendalami ilmu qiraat ini cukup terserlah dengan ketabahan beliau merantau keseluruh rantau Islam untuk belajar ilmu Qiraat dan mengajarkannya. Beliau telah bermusafir ke Mesir, Madinah, Basrah, Samarqand, Khurasan, Isfahan dan Syiraz. Ketika beliau singgah di `Anizah, Najd beliau telah mengarang kitab ad-Durrah al-Mudhiah, kitab Qiraat Tiga untuk menyempurnakan Qiraat Tujuh oleh Imam as-Syatibi sehingga dikenali sebagai Qiraat Sepuluh Syughra.

Ketika beliau berada di Madinah, setelah selesai beliau mengarang Tahbir at-Taisir, beliau mengarang satu kitab lagi yang cukup bermakna dalam dunia ilmu al-Quran dan al-Qiraat iaitu an-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr. Kitab ini merupakan kitab yang paling sempurna di antara sekian banyak kitab-kitab beliau dalam membahaskan ilmu tajwid dan qiraat. Kitab inilah yang menjadi manhaj tertinggi pengajian ilmu qiraat sejak zaman dahulu sehinggalah sekarang. Setelah itu, beliau telah mengarang sebuah kitab untuk mentalkhis kitab an-Nasyr ke dalam bentuk matan dengan nama Toyyibah an-Nasyr Fi al-Qiraat al-`Asyr. Kitab inilah yang telah al-Azhar tetapkan dalam manhaj pengajian qiraat di marhalah Takhassus Qiraat di maahad-maahaq qiraat di seluruh Mesir. Di samping itu, semasa beliau berada di Madinah beliau telah mengarang beberapa kitab lain samada qiraat dan lain-lain.

Kealiman beliau dalam bidang-bidang lain

Sebenarnya al-Imam tidaklah alim dalam bidang qiraat sahaja, bahkan beliau sangat alim dalam beberapa disiplin ilmu yang lain seperti tafsir, hadith, fiqh, usul fiqh, tauhid, tasauf, nahu, sorf, balaghah dan lain-lain lagi. Akan tetapi, di antara ilmu-ilmu yang dinyatakan tadi ternyata beliau lebih alim dalam bidang ilmu hadith. Al-Imam telah mempelajari ulum hadith ini daripada guru-guru beliau seperti as-Syeikh Solahuddin bin Ibrahim bin Abdullah al-Muqaddisi al-Hanbali, al-Imam al-Mufassir al-Muhaddith al-Hafiz Abu al-Fida` Ismail bin Kathir, al-Imam Ibnu `Asakir, Zainuddin bin Abdul Rahim al-Isnawi dan beberapa guru beliau yang muktabar. Beliau mendalami ilmu ini baik dirayah mahupun riwayah sehingga beliau digelar al-Huffaz ath-Thiqat al-Athbat.

Beliau berguru dengan al-Imam al-Isnawi dan al-Imam Ibnu Kathir sehinggalah beliau diberi keizinan oleh gurunya untuk memberi fatwa dan pengajian pada tahun 774 Hijriah sedangkan pada ketika itu beliau baru berumur 24 tahun dan al-Imam Ibnu Kathir merupakan guru pertama yang memberi ijazah keizinan memberi fatwa kepada beliau. Beliau juga diiktiraf untuk memberi fatwa oleh as-Syeikh Dhiauddin pada tahun 778 Hijriah. Manakala pada tahun 785 Hijriah, Syaikhul Islam al-Balqini juga melakukan perkara yang sama.

Beliau telah dilantik sebagai Masyikhah as-Solihiyyah di Baitul Maqdis selama beberapa waktu.Beliau juga pernah dilantik sebagai qadhi di Syam dan Syiraz. Ketika beliau di Syiraz, beliau telah menubuhkan sebuah madrasah untuk mengajar ilmu qiraat yang diberi nama "Darul Quran".

Kewafatan beliau

Pada waktu dhuha hari Jumaat bertepatan 5 Rabi`ul Awwal 833 Hijriah, beliau telah pulang mengadap Rabul `Izzati. Beliau telah disemadikan di Darul Quran yang diasaskan olehnya. Jenazah beliau telah diiringi oleh seluruh umat tanpa mengira darjat dan pangkat. Ini memberi bukti beliau benar-benar dikasihi umat.

Renungan Bersama

Sesungguhnya al-Imam merupakan seorang yang alim, soleh, wara`, zuhud dan pemurah. Seluruh masa dan waktu beliau penuh dengan amal kebajikan dan taqarrub. Sentiasa membaca al-Quran dan mendengarnya daripada orang lain, tekun menuntut ilmu sehinga mampu mengarang. Beliau tidak pernah meninggalkan qiamullail baik ketika beliau kelapangan atau dalam permusafiran. Senantiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis serta tiga hari dalam setiap bulan. Banyak karangannya yang bermanfaat menunjukkan tingginya kegigihan beliau dan hebatnya ilmu beliau tanpa mengira disiplin ilmu apatah lagi dalam bidang ilmu al-Quran dan al-Qiraat yang diberi kelebihan oleh Allah S.W.T kepada beliau.

Read more...

Imam as-Syathibi r.a

Nama sebenar beliau adalah al-Qasim bin Firruh bin Ahmad bin Khalaf bin Abu Qasim Muhammad al-Syatibiy al-Ru’ainiy al-Andalusiy al-Dhorir dan beliau bermazhab Syafi’ei. Dilahirkan dalam keadaan buta pada akhir tahun 538 hijrah di Andalus (Sepanyol) disebuah perkampungan yang bernama Syatibah (sekarang dalam daerah Barcelona).

Di Syatibah beliau mempelajari al-Qur’an dan Qiraat daripada gurunya Abi Abdullah Muhammad bin Abi al-‘As al-Nafari. Kemudian beliau merantau ke Balansiah iaitu satu perkampungan yang berhampiran dengan Syatibah dan berguru dengan Ibn Huzail. Beliau mempelajari ilmu Qiraat dan telah menghafal kitab al-Taisir karangan Imam Abu ‘Amru al-Dani dan juga mempelajari ilmu hadith.

Beliau juga telah mempelajari ilmu Qiraat dari Syeikh Abi Tohir al-Salafi di Iskandariah, Mesir. Apabila beliau beliau sampai ke Mesir, beliau telah diberi penghormatan yang tinggi oleh ulama’-ulama’ di Mesir dan sekali gus dilantik sebagai ketua lujnah al-Qur’an oleh raja Mesir pada ketika itu.

Imam Abu Syaamah al-Dimasyqiy mencipta sepotong syair yang menggambarkan betapa tingginya penghormatan ulama’-ulama’ Mesir terhadap Imam Syatibiy yang berbunyi:



رأيت جماعة فضلاء فازوا * برؤية شيخ مصر الشاطبي
وكلهم يعظمه ويثنى * كتعظيم الصحابة للنبي]1]

Bermaksud:
Aku melihat sekumpulan ulama’ yang bergembira dengan munculnya Imam al-Syatibiy,
Dan kesemuanya membesar dan memuji beliau seakan-akan para sahabat memuji nabi.

Masyarakat Mesir pada ketika itu berlumba-lumba untuk mempelajari al-Qur’an daripadanya. Kebiasaanya beliau memulakan pengajaran selepas solat subuh dan sentiasa mendahulukan murid-muridnya yang datang awal dengan berkata “ sesiapa yang datang awal, hendaklah dia yang baca dulu” . Pernah berlaku, seorang anak muridnya yang selalu datang awal tidak dibenarkan membaca dahulu tanpa diberitahu sebabnya dan disuruh pula murid yang datang selepasnya membaca dahulu. Berfikirlah anak murid yang selalu datang awal itu seketika tentang perkara tersebut lalu tiba-tiba beliau menyedari bahawa beliau masih dalam keadaan junub. Lalu bergegaslah beliau untuk membersihkan diri (mengangkat hadas besar) dan sekembalinya beliau ke tempat pengajian, didapati murid yang kedua tadi masih belum selesai membaca dan ketika itu jugalah Imam al-Syatibiy serta-merta memberhentikan murid keduanya dan terus berkata “ sesiapa yang datang awal, hendaklah dia yang baca dulu”

Di antara kehebatan beliau ialah dapat mendengar azan yang menunjukkan masuk waktu solat tanpa diazankan. Beliau tidak bercakap kecuali apa yang dirasakan perlu dan hanya hadir mendengar bacaan murid-muridnya dalam keadaan berwuduk. Apabila ditanya tentang hal keadaannya beliau akan hanya menjawab dengan katanya: “sihat” walaupun pernah menderita kesakitan tetapi tidak pernah menzahirkannya.

Beliau juga mempunyai keperibadian dan akhlak yang tinggi selain daripada ingatan yang kuat dan akal yang tajam. Tidak memandang dunia dan takut pada hukum Allah. Walaupun beliau bukan bangsa arab, tetapi pengetahuannya dalam bidang ilmu-ilmu Islam serta bahasa arab cukup dalam dan luas. Beliau juga tidak segan silu berpolitik dalam memastikan hukum Allah tertegak di muka bumi ini. Hirzu al-Amaani wa Wajhu al-Tahaani adalah antara kitab yang dikarangnya yang memuatkan pelbagai nasihat dan saranan kepada pencinta ilmu qiraat didalam bab muqaddimah antaranya,

وهذا زمان الصبر من لك بالتي * كقبض على جمر فتنجوا من البلا]2]

Maksudnya:
Zaman ini zaman yang penuh kesabaran dan sesiapa yang berpegang kepada Islam yang sebenar diibaratkan seperti berpegang pada bara api dan mereka ini akan selamat daripada malapetaka.

Berkenaan dengan kitab ini, Al-Tobari meriwayatkan, Imam al-Syatibiy pernah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan Baginda membaca kitab tersebut lalu bersabda “Kitab ini mempunyai keberkatan, barang siapa yang menghafalnya akan dimasukkan ke syurga”.

Beliau meninggal dunia setelah berusia 52 tahun pada hari ahad selepas asar, 28 Jamadil Akhir tahun 590 Hijrah dan dikebumikan pada hari Isnin di atas Jabal Muqattam, Mesir.

Begitulah secara ringkasnya sejarah kehidupan Imam al-Syatibiy yang masih ramai tidak mengetahuinya lagi termasuklah pelajar-pelajar dalam bidang qiraat. Imam al-Syatibiy membawa contoh model pendukung ilmu qiraat yang sebenar. Dalam keadaan beliau yang buta, bukan sahaja hebat dalam bidangnya tetapi sentiasa tegas dalam perkara yang melibatkan hukum Allah. Semoga semua pencinta ilmu qiraat dapat mempersembahkan ilmu ini sepertimana yang dipersembahkan oleh Imam al-Syatibiy bagi mengikis tanggapan bahawa orang qiraat ini hanya tahu membaca al-Qur’an sahaja dan lesu, senyap dan bisu dalam menegakkan kalimah Allah bila balik ke Malaysia nanti .

Semoga kekentalan dan semangat tinggi Imam yang pernah bekerja-sama dengan Salahuddin al-Ayubbi ini dapat kita selami dan seterusnya menjadikan ilmu ini sebagai salah satu alternatif dalam mengembalikan masyarakat ke jalan yang benar.

Fakir ila Allah,
Abu Syathibie,
Syathibie@Yahoo.com


[1] Al-Musolli, Imam Abi Abdullah Muhammad b. Ahmad b. Muhammad bin Ahmad bin Muhammad b. Husain, Syarhu Syu’lah ‘ala al-Syatibiyyah, Kaherah, Maktabah al-Azhar lil Turath, h. ز
[2]al-Syatibiy, al-Qasim b. Firruh b. Khalaf b. Ahmad al-Syatibiy al-Ru’ainiy al-Andalusiy, Hirzu al-Amani wa Wajhu al-Tahani, Jeddah (tahqiq: Muhammad Tamim al-Zu‘biy), Madinah: Maktabah Dar al-Huda, Bab Muqadimah, h. 7

Read more...

Terkini : Latihan Rawatan Islam

Akademi Maqari' Syifa' Qurani akan mengadakan Latihan Rawatan Islam pada :

Modul 3 - 14 Nov 2009 (9.30 - 5.00 ptg)
Modul 4 - 15 Nov 2009 (9.30 – 5.00 ptg)

Sila Hubungi : 012-666 9362/ 016-275 8996
Daftar sebelum / pada 14 Nov 2009.

Penyampai: Syeikhul Maqari Hj. Othman bin Hamzah ( Mantan Imam Besar MSSAAS )

Yuran Latihan

RM 90.00- SATU modul @ 180 DUA Modul untuk peserta baru.
RM 75.00- SATU modul @ 150 DUA modul untuk pelatih AMSYIQ.
Sarapan, makan dan buku disediakan.

Bertempat

316 Pangsapuri Bistari, Persiaran Kemajuan, Seksyen 16 40000 Shah Alam

Kandungan Modul 3
Disertai buku ”Jampi dari Quran”

Amalan bagi penderita penyakit jin dan sihir. Ditimpa musibah, dukacita, penyakit jiwa, gangguan tidur, demam, sengatan, penyembuhan air zam-zam, madu lebah, habbatus sauda’ dan za’tar,& ayat ruqyah.

Kandungan Modul 4
Disertai buku ”Penyembuhan Qurani”

Memelihara kesihatan, Al Quran penyembuh penyakit, khasiat surah dan ayat, penyakit kanser, pelbagai penyakit dan masalah, murah rezeki, pengasih suami isteri, doa angin ahmar, dan lain-lain.

SESUAI DIIKUTI OLEH PENDERITA JIN DAN SIHIR DAN BAKAL PERAWAT

Read more...
Related Posts with Thumbnails