Keistimewaan Sirah Agung Rasulullah saw

Perbezaan antara sejarah dan sirah boleh kita nilai melalui maksudnya. Sejarah membawa erti keadaan suatu zaman yang telah lalu atau silam. Manakala sirah pula diceduk dari perkataan Arab sendiri yang membawa erti perjalanan sesuatu zaman atau perjalanan hidup. Jadi di sini penulis berpandangan lebih sesuai sekiranya digunakan perkataan sirah kerana ianya membawa makna perjalanan hidup Rasulallah saw. Persoalannya mengapa kita perlu membaca dan mengkaji sirah Rasulallah saw, apakah keistimewaanya sehinggakan ia menjadi sumber rujukan para ulama dalam menafsirkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan al Quran dan Hadis.

Di sini boleh kita lihat sendiri bahawa Allah swt telah merakamkan dalam kitabNya bahawa Baginda saw adalah sebaik-baik qudwah ; contoh ikutan dan tauladan. Kalimah Allah swt itu adalah sesuatu yang hak dan mutlak, tiada pertikaian tentangnya. Setiap gerak-geri Baginda saw mempunyai hikmah yang tersendiri hatta di dalam perkara-perkara yang kecil. Dari membuka mata hingga menutupnya semula selama seharian Islam mempunyai cara yang tertentu. Sudah tentu Baginda saw adalah seorang manusia yang mempunyai akal fikiran dan hawa nafsu tetapi baginda terarah kepada fitrah sebenar-benar manusia yang dijadikan oleh Allah swt. Ini adalah disebabkan oleh pentarbiyahan Allah swt sendiri terhadap baginda saw melalui perjalanan hidupnya. Jadi, manakah yang lebih baik dan layak untuk kita jadikan contoh dalam hidup ini selain Rasulallah saw. Cukup malang sekali sekiranya masih ada lagi segelintir golongan yang mengambil contoh cara hidupnya dan pemikirannya selain dari Baginda saw, bahkan sangat menjelekan mengidolakan kepada artis-artis dan tokoh-tokoh kafir. Wanauzubillah..

Perjalanan hidup Baginda saw adalah mencakupi seluruh bidang dan kemampuan. Dari serendah-rendah pergaulan sehingga sebesar-besarnya. Pemimpin keluarga, masyarakat dan negara bahkan Baginda saw adalah sebaik-baik sahabat, hakim, pendakwah dan panglima perang. Demikian hikmah Allah menciptakan nabi-nabi dan rasul-rasul dikalangan manusia. Kita sebagai muslim yang dibebani dengan tugas penyambung dan pembawa risalah al Quran seharusnya mengutip mutiara-mutiara peninggalan Baginda saw yang penuh getir dan payah. Dakwah secara sunnahnya akan berjalan sepertimana yang di hadapi oleh Baginda saw. Bahkan sirah nabi-nabi terdahulu pun melalui onak duri yang berliku untuk menyeru manusia ke arah jalan yang benar. Nabi Nuh as berdakwah selama 950 tahun tapi hanya 80 orang sahaja yang beriman dengan Allah swt. Sudah sepatutnya kefahaman kita akan sirah baginda saw ini adalah sesuatu yang paling wujud, benar dan yakin!

Sebagai umat Muhammad saw seharusnya kita mempunyai sensiviti terhadap perkara-perkara yang melibatkan maruah Baginda. Penghinaan oleh puak-puak kafir laknatullah harus ada yang mempertahankan dari semua sudut dan bidang. Terpundak di bahu tiap-tiap individu yang mengucap wa ashadu anna Muhammad ar Rasulallah. Ini sebahagian dari bukti kecintaan kita pada Baginda saw sepertimana yang dilakukan oleh para sahabat r.a.hum. Ingatlah akan peristiwa Nabi saw di Thaif, Baginda saw disambut dengan batu-batu sehingga terpercik darah di dahi dan kaki baginda saw yang mulia. Sahabat dengan penuh keimanan dan keyakinan sanggup menjadikan batang tubuhnya benteng pada Rasulallah saw. Nampak seperti mudah tetapi sekiranya tanpa iman yang kuat dan kecintaannya pada Rasulallah saw sudah pasti tidak sanggup berbuat demikian.

Sebagai kesimpulannya kita sebagai pembawa risalah ilahi harus menjadikan perjalanan hidup Baginda saw sebagai suatu pengajaran dan tauladan dari semua sudut dan aspek. Terlalu banyak istifadah; faedah yang boleh diambil untuk dijadikan sandaran dalam hidup sebagai seorang pejuang agama Allah. Wallahu ta'ala a'lam.

Comments