16 July 2007

Meniti Hari ke Medan

Hari² ku semakin hampir.. mahu tidak mahu akan ku tempuhi jua.. tiada kata melainkan amanah yang berat bakal ku pikul sebagai hamba yang diberikan sedikit ilmu ini. Sengaja ku coretkan beberapa persediaan sebagai peringatan untuk diriku.



PERSIAPAN ILMU

Senjata pertama yang perlu dimiliki oleh setiap da’ie ialah persiapan ilmu. Secara keseluruhannya, setiap da’ie perlu memahami persoalan aqidah, akhlak, hukum-hukum fiqh serta persoalan dakwah dan jihad yang mencakupi proses pembentukan jamaah, pelaksanaan dakwah, proses mengambil alih kuasa pemerintahan, penggubalan perlembagaan, pelaksanaan sistem pendidikan, sosialisasi masyarakat, penguatkuasaan undang-undang dan konsep hubungan antarabangsa Islam sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran, al-Sunnah dan sejarah Islam.

Sekurang-kurangnya setiap da’ie berkewajipan mengetahui ajaran dan sistem hidup Islam secara umum, pendekatan dakwah yang sesuai digunakan dalam menghadapi masyarakat, perkembangan siyasah semasa.

Demi kebebasan dakwah, setiap da’ie perlu mengetahui ilmu dan selok-belok dakwah seperti uslub dakwah, sasaran dakwah, kandungan dakwah, strategi dakwah, perancangan dakwah dan pengurusan dakwah.

Sebagai pelengkap kepada ilmu-ilmu di atas, seseorang da’ie juga perlu menguasai beberapa bidang ilmu yang lain seperti bahasa Arab, ilmu Usuluddin, Usul al-Fiqh, ilmu Maqasid al-Syariah, Fiqh al-Awlawiyat, al-Siyasah al-Syar’iyyah serta sejarah pemerintahan dan pembinaan hukum Islam.

Kemantapan ilmu akan menjadikan para da’ie lebih berkemampuan dalam memberikan gambaran yang jelas sama ada berkenaan asas-asas ajaran Islam dan hukum-hukum Islam yang bersifat ilmiah dan semasa seperti tahaluf siyasi, konsep negara Islam, kedudukan non-muslim di dalam negara Islam, hubungan antarabangsa Islam dan lain-lain.

PERSIAPAN MENTALITI

Di antara persiapan yang perlu dimiliki oleh setiap da’ie ialah sifat bijaksana (fatanah) iaitu mempunyai daya berfikir yang tinggi dalam mengembangkan fikrah dakwah, membahagikan tugasan, menyelesaikan masalah,mengenalpasti kelemahan, mencari sasaran, membuat keputusan dan mengambil peluang daripada sesuatu kesempata yang berkaitan dengan kepentingan dakwah Islam yang diperjuangkannya.

Seseorang da’ie yang telah memiliki persiapan ilmu yang memadai, mempunyai banyak pengalaman daripada usaha-usaha dakwahnya, bijaksana dalam memupuk daya kepimpinannya secara langsung akan memiliki mentaliti yang tinggi dalam mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang, ancaman, taktik dan strategi yang berkesan dalam memimpin gerakan dakwah ke arah mencapai visi, misi dan objektif yang telah ditetapkan.

PERSIAPAN JASMANI

Setiap da’ie berkewajipan menjagai kesihatan jasmani dengan cara mengambil makanan dan minuman yang seimbang dan berkhasiat. Lantaran itu, setiap da’ie berkewajipan menjauhkan diri daripada melakukan sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada dirinya seperti serap meminum minuman yang manis, makan banyak dan merokok.

Setiap da’ie juga berkewajipan mempertingkatkan kekuatan dan ketangkasan anggota jasmaninya melalui latihan-latihan yang tertentu seperti bersenam, berenang, menembak dan mendaki gunung.

PERSIAPAN ROHANI, AKHLAK DAN DAYA KEPIMPINAN

Di antara persiapan rohani yang perlu dimiliki oleh para da’ie ialah meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat, mempertingkatkan kesucian jiwa dengan sifat wara’ dan amalan ketaatan, sabar dalam menanggung ujian dakwah serta merindui keampunan dan keredhaan Allah.
Manakala akhlak pula perlu dipersiapkan dengan cara membersihkannya daripada sifat marah dan keras hati, membiasakan diri dengan sifat sabar dan pemaaf, menyucikannya dengan adab-adab yang mulia dan mempertingkatkannya dengan mentauladani jejak langkah Rasulullah s.a.w.

Berhubung dengan persiapan daya kepimpinan pula, setiap da’ie mestilah bijak mempelajari dan mengambil pengajaran daripada setiap pengalaman dan daya kepimpinan orang lain.
Seseorang da’ie yang memiliki persediaan di atas adalah diharapkan lebih berjaya dalam mempengaruhi masyarakat berbilang kaum dan seterusya mencapai matlamat dakwah dan politik.

0 komen:

Post a Comment