Negeri Selangor Beri Elaun Kepada Para Huffaz Selangor

Sabtu, 1 September 2007 - Kerajaan Negeri Selangor akan memberi elaun kepada para Huffaz Selangor bagi menggalakkan lebih ramai remaja dan belia selangor menjadi huffaz di samping para huffaz dapat mengekalkan hafazan mereka. Ini dinyatakan oleh YB Dato’ Haji Abdul Rahman bin Palil, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor semasa merasmikan Muzakarah Sekolah Tahfiz dan Penyampaian Elaun Isbat Hafazan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Dewan Undangan negeri Selangor, Shah Alam.

Di majlis itu juga, YB Dato’ Abdul Rahman mengumumkan bahawa Kerajaan Selangor bersetuju mewujudkan Sekolah Tahfiz Sains Selangor akan yang beroperasi di bekas Maahad Tahfiz Selangor di Kg. Bandar, Banting. Sebelum ini Kerajaan juga telah mewujudkan Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di samping beberapa sekolah tahfiz.

Muzakarah Sekolah-sekolah Tahfiz Negeri Selangor diadakan bagi mencari jalan terbaik kepada JAIS dan Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Selangor (PITANS) bagi membangunkan sekolah tahfiz serta bantu-membantu dalam usaha melahirkan generasi Al-Quran yang mampu menghadapi cabaran semasa.

YB Dato’ Haji Abdul Rahman Palil dalam ucapan perasmiannya berkata Kerajaan negeri memang tidak menafikan sumbangan besar sekolah tahfiz dalam melahirkan golomngan huffaz yang berwibawa. Kejayaan demi kejayaan diterima adalah hasil sumbangan para huffaz sehinggakan selangor berjaya mengekalkan juara untuk 9 tahun berturut-turut bagi tahap 3 (1-30 juzuk) wanita.

Para huffaz akan membantu JAIS menyumbang ke arah pengimarahan aktiviti hafaz Al-Quran seperti menjadi imam solat sunat terawih, mengadakan kelas-kelas Al-Quran di masjid dan surau; mengadakah perhimpunan bulanan di kalangan huffaz bagi memantapkan lagi kualiti hafazan mereka.

Di majlis itu juga, 19 orang menerima elaun sebanyak RM 200 sebulan untuk kategori Tahap 1 (1-10 juzuk) dan 2 orang menerima elaun sebanyak RM 300 untuk kategori Tahap 2 (1-20 juzuk) telah menerima elaun mereka daripada YB Dato’ Haji Abdul Rahman Palil. Manakala tahap 3 (1-30 juzuk) setakat ini belum ada huffaz yang berjaya dalam temuduga. Di samping itu, seramai 6 orang peserta yang mendapat markah melebihi 90 peratus dalam Majlis menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor juga menerima elaun sebanyak RM 600 di majlis tersebut.*

Comments