Memperingati Hari Kebesaran Islam

Ada golongan dari umat Islam yang menganggap bahawa hari-hari penting dan kebesaran Islam atau apa sahaja cara memperingati peristiwa-peristiwa Islam seperti Hijrah, Isra' Mikraj, Maulidur Rasul, Peristiwa Badar al-Kubra, Fathu Makkah, peristiwa-peristiwa dari sirah nabi dan lain-lain yang seumpamanya adalah bid'ah (yang diada-adakan) dalam agama ini yang mana setiap bid'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu akhirnya adalah tempatnya di neraka. Anggapan ini sebenarnya salah secara total. Sebenarnya apa yang kita nafikan dan tidak persetujui pada perkara ini ialah sambutan-sambutan yang bercampur dengan perkara-perkara yang mungkar, perkara-perkara yang salah di sisi syara' dan juga perkara yang langsung tiada asal dan dalil dalam agama sepertimana yang berlaku di sebahagian negara pada sambutan Maulidur Rasul dan sambutan kelahiran yang mereka rayakan untuk para auliya' dan solihin.

Memperingatinya ini adalah disyariatkan (ada dalilnya di sisi syara'), digalakkan dan dituntut. Allah S.W.T sendiri telah memerintahkan kita untuk melakukannya (ingat memperingati) dalam al-Quran apabila berfirman :

9. "Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) Yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.
10. "Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan." (al-Ahzab ; 9-10)

Ayat ini mengingatkan kita dengan perang Khandak atau dinamakan juga perang Ahzaab apabila orang Quraisy, Ghatfan dan kumpulan-kumpulan mereka memerangi Nabi S.A.W dan juga kaum muslimin di tengah-tengah tempat tingggal mereka, mengepung Madinah dengan memagari sekelilingnya. Musuh merancang untuk memusnahkan tanaman-tanaman orang Islam dan menghancurkan sumber-sumbernya. Lalu Allah menyelamatkan orang Islam daripada ancaman ini dengan menghantar angin ribut kencang dan juga tentera-tenteraNya yang tidak dapat dilihat oleh manusia iaitu Malaikat. Allah telah mengingatkan orang-orang Islam dengan perkara ini.. Ingatlah dan jangan lupa perkara ini !! Ini memberi makna bahawa menjadi kewajipan kepada kita untuk sentiasa mengingati nikmat ini dan tidak melupakannya.

Dalam ayat lain, Allah berfirman :
11. Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-orang yang beriman berserah diri. (al-Maidah ; 11)

Dalam ayat ini, Allah mengingatkan kaum muslimin dengan kaum Yahudi bani Qainuqa' yang cuba untuk membunuh Nabi S.A.W secara curi-curi. Mereka merancang perkara ini dan hampir-hampir perancangan ini menjadi akan tetapi perancangan Allah lebih kuat dan cepat daripada mereka.

Maka dengan itu, berdasarkan bukti-bukti di atas, mengingati nikmat-nikmat adalah dituntut. Kita sentiasa mengingati nikmat Allah pada hari-hari kebesaran ini dan kita mengingatkan kepada orang Islam tentang peristiwa ini dan apa pengajaran dan pelajaran yang boleh kita dapati daripada peristiwa ini. Persoalannya, adakah kita dapati kecacatan kepada perkara seperti ini? Adakah perkara ini menjadi bid'ah dan menyesatkan ?

Wallahua'lam.

Comments