Kesan Solat Pada Fizikal Diri

Solat adalah suatu kefardhuan setiap individu muslim. Mereka yang telah akil baligh wajib menunaikannya solat lima waktu sehari semalam. Kerap kali kita dimaklumkan bahawa solat itu baik untuk kesihatan tapi ianya hanya di bibir sahaja. Pembuktiannya secara saintifik mungkin mencernakan peri pentingnya amalan solat sempurna. Perhatikan firman Allah swt Surah Al-Baqarah ayat 45.

45. Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;

Solat itu sangat susah dilaksanakan sekiranya kita tidak mengenalpasti kesannya pada kesihatan diri kita. Khusyuk pula memahami segala makna bacaan dan memahami dengan yakin bahawa solat yang dikerjakan itu suatu pengabdian yang nyata antara hamba dan Penciptanya. Manakala solat yang sempurna amat-amat digalakkan untuk dilaksankannya.

Mari kita tinjau kajian yang dijalankan oleh penyelidik tempatan mengenainya[1]. Daripada kajian tersebut mereka mendapati jika seseorang dapat mengamalkan lima atau empat tabiat lazim ; menyempurnakan solat 5 waktu, memahami sepenuhnya makna bacaan dalam solat, menunaikan solat berjemaah, memastikan kedudukan tulang belakang lurus ketika ruku’ (90˚) dan membengkokkan jari kaki ketika ruku’ dan duduk tahiyat. Mereka akan mempunyai tahap kesihatan yang terbaik bahkan melepasi aras optimum sihat. Malah tubuh badan mereka lebih sihat, bertenaga serta daya ketahanan badan yang tinggi dan mantap serta dapat menghindarkan mereka dari dijangkiti pelbagai penyakit fizikal dan mental.

Maha Suci Allah yang menciptakan hambanya sebaik-baiknya. Menciptakan ibadah yang baik juga untuk hambanya. Jelaslah pada kita kasih sayang Allah itu melebihi segalanya. Perintah solat bukan sekadar beribadah ; mendekatkan diri padaNya bahkan memulihara tubuh fizikal pelakunya. Ingatlah firman Allah pada Surah at-Tin

4. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

Sujud

Hadith Rasulullah saw yang bermaksud : “Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya ialah waktu ia sujud, oleh itu perbanyakkanlah doa ketika itu”.

Pengamalannya secara rohani telah pun kita sedari tapi bagaimana pula dari sudut jasmani ? Sebenarnya ketika sujud kadar denyutan jantung adalah rendah kerana nilai kadar denyutan jantung berubah mengikut jarak kedudukan jantung kepada dasar graviti. Makin rendah jaraknya makin kurang denyutan jantungnya. Ini bermakna jantung kita dapat berehat ketika kita sedang sujud. Maka sebab itu kita digesa untuk memperbanyakkan doa ketika sujud.

Antara manfaat lain yang perolehi dari sujud ialah kedudukan kepala pada paras terendah. Ianya sesuai dengan tarikan graviti yang akan mengakibatkan lebih banyak darah mengalir ke otak. Otak memerlukan oksigen melalui bekalan darah yang disalurkan itu untuk menjadikkannya bertambah sihat dan cergas.

Rukuk

Rasulullah saw bersabda maksudnya : “Seburuk-buruk pencuri ialah mereka yang mencuri daripada solat mereka. Maka sahabat bertanya :Wahai Rasulullah, bagaimana mereka mencuri daripada solat mereka Maka Rasulullah menjawab : Mereka yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud mereka” (Riwayat Ahmad, Thabrani dan Ibn Khuzaimah)

Sabda Baginda saw lagi bermaksud : “Jika kamu rukuk, letaklah kedua-dua tanganmu pada kedua-dua lututmu, kemudian renggangkanlah jari-jarimu, kemudian tenanglah sampai ruas tulang belakangmu mantap di tempatnya.” (Riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

Rukuk yang dikehendaki disini adalah posisi kedudukan tulang belakang lurus 90˚. Demikian itu adalah rukuk yang sempurna menepati sabda baginda tadi. Dari posisi tersebut didapati otot di belakang badan dapat “berehat” apabila tubuh badan kita menunduk sepenuhnya. Hal ini kerana posisi berkenaan dapat membuka ruang antara spina yang akan mengurangkan penghimpitan urat saraf.

Rumusan kajian yang dilakukan bahawa pergerakan rukuk dapat memberi kebaikan dalam memulihara dan membantu mengembalikan kenormalan fungsi otot-otot spina untuk merawat sakit pinggang dan juga boleh digunakan sebagai terapi.

Duduk Antara Dua Sujud

Disebutkan dalam Sahih Bukhari bahawa Nabi saw bersabda maksudnya : “Apabila Nabi saw duduk diantara dua rakaat, Baginda duduk di atas kaki kirinya dan menegakkan kaki kanannya”.

Duduk ini juga dikenali sebagai duduk iftirosh. Pada kedudukan ini, tumit menekan otot-otot pangkal peha yang dapat melancarkan pengaliran darah kembali ke jantung. Selain itu juga, posisi ini dapat menghindarkan dan menjadi penawar penyakit saraf pangkal peha.

[1] Beberapa penyelidik seperti Fatimah Ibrahim, Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok dalam buku mereka yang bertajuk Solat : Kebaikan Dari Perspektif Sains. Terbitan Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya.

Comments