Khutbah Jumaat : Antara Hukum Dan Melepaskan Batuk Di Tangga

Oleh: Ibnu Ibrahim

Didalam sejarah awal Islam, khutbah Jumaat disampaikan sendiri oleh ketua negara. Rasulullah s.a.w. sebagai ketua negara Islam pertama menggunakan media khutbah ini untuk mejelaskan ajaran Islam, memberi nasihat serta menjelaskan hal-hal pentadbiran dan ketenteraan. Peranan khutbah juga sama dalam Khulafa’ Ur Rashidin. Khutbah-khutbah Jumaat disampaikan sendiri oleh para khalifah dan khutbah-khutbah itu tetap penting dalam hal ehwal pentadbiran masyarakat Islam.

Rasulullah s.a.w. dan khalifah-khalifah sesudah baginda merupakan orang-orang yang benar-benar sibuk mengurus dan membangunkan masyarakat Islam. Menggubah pemikiran manusia ketika itu dari fahaman jahiliyah kapada cara hidup yang disuruh olih Islam bukanlah suatu perkara yang mudah. Selain dari itu, ancaman orang-orang kafir terhadap Islam juga perlu diambil kira. Selain dari majlis-majlis ilmu, khutbah juga memainkan peranan yang penting sebagai ‘platform’ sebaran am segala arahan-arahan untuk dipatuhi, dihayati dan diikuti pada masa-masa yang sungguh mencabar itu. Ini menunjukkan bahawa peranan khutbah merupakan satu institusi yang amat besar ertinya dalam perkembangan masyarakat Islam sama ada dari sudut pembangunan fizikal, ruhani atau ‘aqliah (mental).

Khutbah Jumaat menyediakan lorongan bagi pemimpin untuk bersemuka dengan rakyat dan dapat menyalurkan maklumat atau apa-apa keterangan secara langsung kapada mereka. Secara tidak langsung, khutbah Jumaat dapat merapatkan hubungan pimpinan dengan rakyatnya. Apakah kepentingan khutbah yang memberi banyak manfaat dizaman kegemilangan Islam dahulu masih wujud dizaman ini dan adakah institusi ini berkesan saperti dahulu? Ini adalah satu persoalan yang harus menerima pertimbangan sewajarnya daripada kita umat Islam sekarang, khususnya para pemimpin masyarakat Islam dan pemimipin-pemimpin negara yang beragama Islam amnya.

Penulis ingin menyingkap suatu sejarah tentang bagaimana khutbah Jumaat memberi perangsang kapada tentera-tentera dan masyarakat Islam sehingga tentera-tentera Salib dapat ditumpaskan.

Pihak Salib telah berjaya menawan Baitul Muqaddis, kiblat pertama umat Islam dan tempat mikraj Nabi s.a.w. Keadaan ini berlaku sebab umat Islam pada masa itu berada didalam keadaan tidak stabil dan kacau-bilau, malah banyak berlaku pulau memulau sesama sendiri dan keruntuhan akhlak yang dahsyat.Peperangan meletus sesama mereka dan munculnya permusuhan dalaman. Pengkaji-pengkaji sejarah telah membuat banyak laporan tentang keadaan yang tidak stabil yang melanda negara-negara Islam sehingga mereka mudah jatuh ke tangan penjajah Salib. Allh s.w.t. tidak menzalimi mereka tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Bibit-bibit kebangkitan Islam mulai kelihatan melalui kebangkitan keluarga Imaduddin Zanki yang berjaya membina sebuah kerajaan yang kuat. Kerajaan ini telah memberi pukulan yang kuat kapada kerajaan Salib Kristian satu demi satu. Kebangkitan Imaduddin Zanki telah memberi kesan kapada tercetusnya Perang Salib yang kedua dan telah berakhir dengan kekalahan yang memalukan bagi pihak mereka dan melalui mimbar-mimbar khutbah, api perjuangan Islam mula disemarakkan sehingga membaranya semangat dan moral kaum Muslimin dan menyediakan pintu kemenangan besar kemudiannya.

Tentera Salib masih tinggal saki bakinya yang agak besar, dipimpin olih seorang Raja Perancis yang memusuhi Islam. Beliau telah dilaporkan menyerang pedagang-pedagang Islam yang berulang alik diantara Mesir dan Syam. Disinilah munculnya peranan Sultan Salahudin Al-Ayubi. Menyedari bahawa media mimbar khutbah Jumaat akan menjadi sebaik-baik perangsang kapada kaum Muslimin, beliau telah menggunakannya untuk berikrar bahawa beliau akan membunuh Raja Perancis dan memberikan pukulan maut kapada tentera Salib. Dengan tidak melengahkan masa, Salahuddin keluar untuk berperang pada hari itu juga, yakni Hari Jumaat 17hb Rabiul Akhir 583H salepas solat Jumaat dengan diiringi olih doa, munajat dan laungan takbir umat Islam. Nah, lihatlah sendiri bagaimana berkesannya peranan khutbah sehingga Salahuddin dan bala tenteranya memenangi peperangan itu. Azamnya juga telah tertunai apabila tengkuk Raja Perancis dipancongnya sendiri. Oleh itu, tidak hairanlah Salahuddin berjaya mencapai kemenangan yang gilang gemilang dan mendapat bantuan dari Allah s.w.t. dalam mengalahkan musuhnya. Benarlah firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Haj ayat 41 yang bermaksud:-

“ Dan sesungguhnya Allah s.w.t. pasti menolong orang-orang yang menolong agamanya. Sesungguhnya Allah itu Maha Gagah lagi Maha Perkasa”.

Orang-orang yang tidak faham peranan khutbah ini akan mempertikaikan kesannya khutbah sehingga peperangan besar dapat dimenangi. Mereka akan mengatakan bahawa tidak perlu khutbah itu disampaikan secara berapi-api pada zaman sekarang kerana terdapatnya kemudahan media massa yang boleh menerangkan dasar-dasar kerajaan.

Memang benar pada hari ini terdapat media massa yang dapat menyalorkan apa jua maklumat secara lebih meluas pada bila-bila masa saperti akhbar, radio atau television. Namun demikian, satu ciri yang penting dalam penyampaian khutbah Jumaat ialah persemukaan antara rakyat dan pemimpin mereka. Salepas solat Jumaat, pemimpin dan rakyat dapat bersalaman dan ini akan mewujudkan kemesraan dan rasa hormat antara satu sama lain. Lagi pula, kerajaan yang memerintah hari ini tidak peka dengan perjuangan dan pembangunan Islam secara hakiki. Mimbar-mimbar Jumaat tidak digunakan untuk pembangunan umat Islam seratus-peratus. Tidak saperti di negeri Kelantan.

Menteri Besarnya dan juga semua wakil rakyat mempunyai latar belakang pendidikan ugama dan mereka mampu berkhutbah di mesjid-mesjid dengan membawa mesej perjuangan dan pembangunan umat Islam secara jelas dan tidak saperti negeri-negeri lain yang khutbah-khutbah Jumaat mereka hanya untuk menyempurnakan rukun solat Jumaat dan akhir sekali terdapat ramai jama’ah yang tertidur dan ada yang sampai berdengkur! Pemimpin di Kelantan menggunakan kesempatan hari Jumaat untuk bertemu semua rakyat di kawasan-kawasan mereka sekaligus menjalinkan hubungan kemesraan diantara satu dengan yang lain.

Kalau dilihat dari sudut kesannya, adakah khutbah Jumaat hari ini berkesan atau tidak?

Pada hari ini, pengetahuan dan sikap kita sabelum dan sesudah mendengar sesuatu khutbah Jumaat adalah sama. Sama jugalah khutbah Hari Raya Puasa, Hari Raya Qurban atau khutbah yang dibaca salepas solat gerhana bulan. Kalau kita malas sabelumnya, salepasnya pun kita malas juga. Kalau kita jahil sabelumnya, salepasnya pun kita jahil juga. Begitulah keadaannya jika kita ada lain-lain sifat yang mazmumah. Ringkasnya tidak ada perubahan kapada kita sabelum atau salepas kita mendengar sesuatu khutbah. Kalau ada perubahan pun tidaklah banyak tetapi hanya bersifat sementara.

Keberkesanan sesuatu khutbah itu hanya akan wujud sekiranya penyampai itu ikhlas untuk membentuk keperibadian Islam dikalangan jamaah mengikut acuan acuan Al-Quran. Khatib itu mestilah seorang yang kuat imannya dan tidak takut kapada perasaan orang ramai disamping berkebolehan berpidato dengan baik kaperingkat memukau pihak yang mendengar. Sejarah boleh mengajar kita dalam hal ini.

Semasa Sepanyol berada didalam kekuasaan Islam dengan nama Andalus, Khalifah Abdul Rahman Al-Nasir merancang pembinaan kota “Zahra”. Dia hendak membina kota ini dengan seindah-indah binaan, yang mana terpaksa menelan belanja yang begitu banyak. Kota istananya tinggi mencakar awan. Di dinding di bahagian dalam dihiasi ukiran-ukiran tulisan dengan air emas dan perak. Apabila perkara ini sampai kapengetahuan Kadi Munzir Bin Said tentang pembaziran pemerintah, beliau ( Kadi ) menjadi marah kerana pemerintah menggunakan wang rakyat yang tidak kena pada tempatnya. Dia dengan berani telah menyentuh perkara ini dalam khutbah Jumaatnya dan mencela Abdul Rahman di tengah-tengah jamaah. Didalam khutbahnya dia berkata :-

“Tidak saya sangka syaitan telah menggoda kamu sampai begitu sekali wahai khalifah. Hinggakan kamu lagi tidak berpotensi untuk memimpin walaupun kamu ada kelebihan jika hendak dibandingkan dengan manusia semua. Kesudahannya taraf kamu semua sama sahaja dengan orang-orang kafir.”

Berkerut dahi Abdul Rahman bila mendengar khutbah tersebut. Dengan perasaan marah, dia memotong ucapan khutbah Kadi Munzir. Dia mula menyampuk :

“Apakah buktinya yang Allah samakan kedudukan aku saperti orang kafir?”

Jawab Kadi Munzir:
“Ya…! Buktinya saperti firman Allah:

“Dan sekiranya bukan hendak menghindari manusia menjadi umat yang satu, ( dalam kekafiran ), tentulah kami buatkan bagi orang-orang yang kafir kepada Tuhan yang Maha Pemurah loteng-loteng perak bagi rumah mereka dan ( juga ) tangga-tangga ( perak ) yang mereka menaikkinya.” ( Az-Zukhruf Ayat: 33 )

Khalifah Abdul Rahman menundukkan kepalanya satelah mendengar ulasan Munzir. Dia membisu seribu bahasa. Dalam kekhusyukan beliau mengingati Allah, air matanya jatuh berderai membasahi janggutnya. Dia pergi mendekati Kadi Munzir seraya berkata:

“Segala ajaran agama yang telah kamu sampaikan kepada kami, semoga Allah juga yang memberi balasan kapada kamu. Mudah-mudahan Allah perbanyakkan lagi orang yang saperti kamu ini. Sesungguhnya apa yang kamu ucapkan tadi adalah benar.”

Satelah selesai kata-katanya tadi, sambil mengucap “Astaghfirullah”, dia terus bangun dan mengarahkan pekerja-pekerja yang membina kecubung istana yang mencakar awan dan dinding-dinding dari batu marmar supaya dibatalkan sahaja.

Hah! Bagaimana? Boleh atau tidak tok-tok khatib di Malaysia buat semacam itu? Penulis rasa boleh tapi mereka perlu kikis dahulu perasaan takut kena ‘gam’. Kerana takut kena gam, tok-tok khatib membacalah khutbah yang fungsinya macam ubat tidur. Khutbah-khutbah yang buat orang mengantuk, di bunyinya senada dengan air sungai yang mengalir. Dia peduli apa orang mengantuk? Asalkan dapat elaun sudah cukup!

Kita mungkin atau akan mengelamun dan fikiran kita semasa khatib membaca khutbah melayang entah ke-mana. Keadaan ini adalah suatu perkara biasa yang kita boleh lihat di mana-mana. Mengapakah keadaan ini berlaku dan mengapakah alat yang sangat besar ertinya dalam zaman keagungan Islam dulu itu menjadi tumpul dan tidak mencapai matlamatnya dizaman kita? Adakalanya terdapat Imam-imam mesjid membenarkan “kroni-kroninya” yang tidak fasih dalam sebutan Bahasa Arab membaca khutbah atas alasan melatih mereka. Imam juga tidak memanggil mereka dan menyuruh mereka membaca khutbah di hadapannya sabelum membaca kapada orang ramai kerana imam juga mengambil jalan mudah. Dengan ini, apabila bacaan tidak baik atau memuaskan, jamaah akan berasa jemu.

Khutbah sebagai suatu media penting telah tidak difahami olih penyampainya atau khatibnya. Lantas dengan itu, beliau baca sahaja khutbahnya. Penulis pernah melihat seorang khatib disebuah mesjid di Pulau Pinang membawa sebuah buku yang berjodol “Himpunan Khutbah-Khutbah Jumaat” semasa menaikki mimbar. Buku itu kelihatan buruk dan lusuh. Mungkin dibelinya sepuluh tahun yang dahulu. Tajuk yang diperkatakannya ialah tajuk sepuluh tahun yang dahulu dan tidak relevan lagi.Kalau ada persamaan pun antara perkara sepuluh tahun dahulu itu dengan keadaan sekarang, cara penghuraiannya sangat berbeza kerana persekitaran dan pengalaman antara dua masa itu tidak sama.

Khutbah telah dianggap semata-mata sebagai rukun solat Jumaat, yakni tanpanya maka solatpun tidak sah. Khutbah pun dibaca untuk melengkapkan rukun itu. Kadang sesuatu khutbah itu di-ulang-ulang beberapa kali kerana khatib itu sendiri tidak faham dengan matlamat sesebuah khutbah. Kadang-kadang terdapat di pejabat Imam di dalam mesjid teks-teks khutbah yang lama. Tok-tok khatib yang tidak peka ini akan mengambil sahaja “pakai cekup”.

Pada tahun 1989, pada menumcaknya Intifadhah di Palestine, penulis telah menunaikan solat Jumaat di sebuah mesjid di Alor Setar. Khatib pada hari itu telah berkhutbah tentang peristiwa Israk Dan Mikraj dengan mengaitkan peristiwa Intifadhah tersebut. Khutbah itu begitu menarik sehingga salepas solat Jumaat, beberapa orang telah berjumpa dengan beliau meminta teks khutbah itu untuk dibaca dan dihayati. Itulah yang dinamakan khutbah.
Sumber : Ibnumuslim

Comments