Puasa : Hakikat Taqwa Yang Perlu Dihayati

Firman Allah S.W.T. dalam  Al-Quran maksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu puasa sepertimana telah difardhukan ke atas mereka sebelum kamu, moga-moga kamu tergolong dari kalangan mereka yang bertaqwa.”

Berdasarkan ayat di atas, Allah S.W.T. telah mewajibkan puasa kepada orang-orang beriman sebagai suatu ibadah yang dapat mendekatkan diri kepadaNya. Selain daripada menahan daripada lapar dan dahaga serta perbuatan yang boleh membatalkan puasa, ia juga mengajar kita agar sentiasa berusaha mencapai darjat ketaqwaan sebenar.


Taqwa yang dimaksudkan di sini ialah pelbagai pendefinisian oleh para sahabat, tabiin dan ulama’ mengikut kefahaman dan pengalaman yang telah mereka lalui. Saidina Ali K.A.W. apabila ditanyakan tentang maksud taqwa, beliau menjawab :


الخوف من الجليل, والعمل بالتنزيل, والرضا بالقليل, والاستعداد ليوم الرحيل.

Maksudnya : Takut kepada Allah S.W.T., beramal dengan apa yang diturunkan, redha dengan sedikit, dan bersiap-sedia menghadapai kematian.

Tambahan pula, sifat taqwa ini bukanlah dapat dizahirkan dengan wara’ atau merendah diri semata-mata namun ia adalah anugerah yang diberikan Allah S.W.T. kepada mereka yang melaksanakan perintahnya dengan penuh taat. Apa yang penting setiap pekerjaan dan amalan yang diperintahkan Allah S.W.T. mempunyai matlamat dan tujuannya. Matlamat taqwa inilah yang dituntut Allah S.W.T. kepada mereka yang beriman agar sentiasa bersifat dengannya di dalam kehidupan. Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran maksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman, bertqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar ketaqwaan dan janganlah kamu mati melainkan kamu berada dalam agama Islam”

Oleh sebab itulah, anugerah taqwa ini tidak disempitkan dengan natijah daripada pergerakan dalam ibadah semata-semata tanpa melihat kepada setiap perbuatan yang memberikan sumbangan kepada agama. Suruhan supaya sentiasa bertaqwa ini hendaklah dihayati sepenuhnya bagi mendapatkan gambaran jelas tentang konsep ibadah kepada Allah S.W.T.

Begitu juga dengan ibadah puasa yang mempunyai banyak kelebihan dari sudut zahir mahupun batin di samping matlamat sebenar suatu ibadah itu iaitu ketaqwaan. Antara perkara yang dapat dilihat dalam ibadah puasa ialah :

1.      Perintah ini adalah suatu bentuk ketaatan kepada Allah S.W.T. yang perlu dilaksanakan oleh mereka yang beriman.
2.      Puasa melatih kehendak insan supaya ia dapat dibentuk dengan elok mengikut acuan Islam iaitu dengan penanaman sifat sabar dalam melaksanakan suatu perkara.
3.      Dari sudut kesihatan ia mampu menjadi salah satu aktiviti yang dapat menyihatkan tubuh badan. Ini kerana perut yang merupakan punca kepada banyak penyakit dapat direhatkan dan dihadkan penggunaannya.
4.      Mengingati terhadap kesengsaraan mereka yang berlapar disebabkan miskin, dan kekurangan bekalan makanan. Perkara ini merupakan suatu hikmah dari sudut kesedaran kemasyarakatan yang diperolehi daripada ibadah puasa.

Akhirnya, marilah sama-sama kita sentiasa meningkatkan usaha dalam memastikan setiap perkara yang dilakukan untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. Bukanlah ibadah itu hanya dapat memuaskan diri sahaja tetapi ia perlu dinilai dari sudut matlamatnya iaitu ketaqawaan. Sedikit cebisan kalam hukama’ sempena kedatangan bulan Ramadhan pada kali ini :

“Barangsiapa yang banyak makan maka dia akan banyak minum, dan barangsiapa yang banyak minum dia akan banyak tidur, dan barangsiapa yang banyak tidur maka sia-sialah umur kehidupannya.”


Sumber : Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasilan Penyelidikan PMRAM

Comments