26 December 2010

PUM lancar Kelab Penyokong Dinar

KUALA LUMPUR, 22 Dis: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dengan rasminya pada hari ini melancarkan Kelab Penyokong Dinar.

Pelancaran itu dilakukan oleh Datuk Al-Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir, Yang Dipertua PUM sempena Seminar Seminar Minisiri Dinar Emas di Putra World Trade Centre (PWTC).

Menurut Abdul Halim, penubuhan Kelab Penyokong Dinar ini merupakan sebahagian daripada usaha PUM memberi kesedaran kepada orang ramai tentang dinar emas.

“Untuk merealisasikan usaha memberi kesedaran dan kefahaman menyeluruh kepada masyarakat awam, mengenai peri pentingnya mengembalikan kebangkitan dinar emas dalam muamalah ummah, dan menggerakkan kesedaran tersebut secara dinamik dan berkesan, maka Kelab Penyokong Dinar ini dilancarkan,” ujarnya semasa menyapaikan ucaptama pada seminar itu.

Seminar sehari ini menampilkan beberapa pembentang iaitu Dr Zahimi Chik (Al-Qafilah International), Khalid Noorshah (Gold Dinar Research Group, Universiti Sains Malaysia),Khairudden Hussin (Muamalah Council), Mazli Alias (Penganalisis Pasaran Ekuiti), Redhuan Oon (Pengasas Adempiere), Abdullah Zaidi Hassan (Penyelidik Perpustakaan Islam Nur Az-Zahrah), Haji Ann Wang Seng (Setiausaha MACMA), Rafidi Hashim (Pendakwah) dan Dr Luqman Abdullah (Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya).

Isu penggunaan dinar emas ini mula menarik perhatian umum apabila Tun Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri Malaysia ketika menyebutnya secara tidak langsung pada tahun 2003.

Walaupun beliau ketika itu tidak bermaksud dinar dijadikan sebagai matawang, namun langkah-langkah proaktif telah dimulakan oleh Kerajaan PAS Kelantan pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pelbagai usaha seperti seminar, forum dan perbincangan telah diadakan. Langkah PAS tersebut mendapat publisiti dan pandangan yang berbeza-beza.

Usaha tersebut tidak terhenti setakat itu, pada 20 September 2006, kerajaan Kelantan telah mencatat sejarah apabila mula menjual kepingan-kepingan dinar dan dirham dan telah digunakan di Pasar Besar Siti Khadijah dan Bazar MPKB, Kota Bharu.

Oleh hal yang demikian, penubuhan Kelab Penyokong Dinar ini merupakan langkah yang wajar disokong agar penggunaan dinar dan dirham kembali diterima dalam masyarakat hari ini, di samping menjadi alternatif kepada sistem matawang kapitalis.

Sumber : HarakahDaily

0 komen:

Post a Comment